Wednesday, February 3, 2010

kopitiam halal ataupun tidak part 2







HEADING- Kewujudan kopitiam yang tumbuh bak cendawan di mana-mana di negara ini termasuk Kuantan sebenarnya menimbulkan persoalan,sama ada ia benar-benar halal ataupun sekadar hiasan semata-semata untuk mengaburi pelanggan. Sinar Harian membuat tinjauan dalam kalangan pemilik dan orang ramai serta pihak berkaitan untuk merungkaikan persoalan ini.
H:Status, selesa jadi pilihan
ROSILAWATI ROSEDI

KUANTAN- Status dan persekitaran selesa menyebabkan kopitiam menjadi pilihan masyarakat masa kini berbanding kedai kopi ataupun kedai makan biasa.
Namun dalam keghairahan orang ramai menikmati hidangan dan menghabiskan masa hingga berjam-jam, mereka alpa akan kesahihan 'halal' yang dimiliki kopitiam.
Pemilik Restoran Selera Padang, Zarah Yahya, 48 berkata, sikap orang ramai yang merasakan diri berstatus dan lebih selesa di kopitiam menyebabkan kedai kopi ataupun kedai makan terpinggir.
Menurutnya, satu sikap yang perlu dibendung apabila orang ramai tidak mempertikaikan sijil halal yang dimiliki kopitiam terbabit.
“Ini menyebabkan kita dalam dilema apabila menaikkan sedikit harga, orang ramai sudah mula bising-bising.
“Namun dibandingkan dengan kopitiam yang meletakkan harga lebih mahal, mereka tidak mempertikaikannya malah tetap mengunjunginya,” katanya ketika ditemui di restoran miliknya yang beroperasi sejak tahun 1792 lagi.
Menurutnya, dia tidak pernah mengunjungi kopitiam namun mengakui suasana selesa di premis itu tetapi dalam tempoh sama berkata,kos tinggi diperlukan jika mahu menaiktarafkan kedai miliknya untuk menandingi kopitiam.
Anaknya, Tengku Norzila Tengku Daud, 31, berkata, dia merasa hairan dengan sikap orang ramai yang begitu yakin apabila melihat sijil halal ditampal di dinding.
Dakwanya, kecanggihan teknologi sekarang membolehkan sijil halal boleh dipalsukan tanpa dapat dikesan seperti sijil asal.
“Orang ramai perlu berhati-hati untuk mengunjungi sebarang premis dan sebagai umat Islam,kita perlu berhati-hati dan mendapatkan pengesahan sebelum yakin menikmati hidangan.
“Kita berharap pihak berkaitan seperti pihak agama negeri memantau situasi ini dan memaklumkan terhadap orang ramai untuk menjaga kesucian agama Islam,” katanya.
Sementara itu, pemilik Kedai Kopi Jalan Besar,Tong Oi Teng, 48, berkata, memang terdapat jurang persaingan antara kopitiam dan kedai kopi memandangkan harga berbeza di kedua-dua premis itu.
“Untuk bersaing, kita perlu memastikan kualiti makanan dan minuman yang disediakan setanding ataupun lebih baik berbanding di kopitiam.
“Namun sejak kedai ini dibuka 20 tahun lalu,kita tiada masalah untuk bersaing memandangkan harga di kedai kopi lebih murah kerana tidak mengenakan cukai berbanding di kopitiam,” katanya.

No comments:

Post a Comment