Wednesday, February 3, 2010

kopitiam halal ataupun tidak

KUANTAN - Pihak berkuasa agama Islam di Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang mengesahkan tidak ada Kopitiam yang disahkan halal di negeri ini.
Pendedahan ini adalah susulan pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui televisyen yang memaklumkan kebanyakan restoran kopitiam di negara ini tidak mendapat pengesahan halal atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Bahagian Penyelidikan Jaip negeri Noridzuan Abdul Manan berkata, sama seperti senario itu, tidak ada pengesahan sijil halal yang diberikan pihak berkuasa agama Islam di negeri ini.
“Sepanjang tempoh dua tahun lalu, Jaip tidak pernah menerima permohonan daripada mana-mana pemilik kopitiam untuk mendapatkan Sijil Halal Negeri Pahang sebaliknya pemilik terbabit lebih cenderung mendapatkannya dari pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, pihaknya memang menyedari bahawa ada beberapa restoran dan kopitiam mempamerkan logo halal yang dikeluarkan pihak swasta.
Noridzuan menegaskan bahawa Jaip mempunyai pendirian sama dengan Jakim iaitu tidak pernah mengiktiraf sijil halal pihak swasta terbabit.
Justeru, beliau menyarankan pemilik kopitiam di negeri ini yang berhasrat mendapatkan sijil halal supaya tidak menerima tawaran sijil halal dari pihak ketiga.
“Walaupun proses mendapatkan logo halal swasta begitu mudah dan cepat tanpa syarat yang ketat namun mereka perlu memikirkan aspek kepentingan pengguna khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.
“Mereka perlu memohon sijil halal dari Jaip melalui Jawatankuasa Kajian Makanan dan Barang Gunaan Orang Islam Negeri Pahang yang akan melaksanakan pemeriksaan secara bersepadu selain memastikan semua syarat dan peraturan berkaitan pensijilan halal dipatuhi,” katanya.
Katanya, kakitangan Jaip akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa selepas restoran atau kedai makan diiktiraf halal.
Pensijilan halal di negeri ini mengutamakan aspek halal, bersih, suci, selamat dan berkualiti, dan tidak sekali-kali berorientasikan keuntungan semata-mata seperti pihak swasta,” katanya.
Noridzuan yakin bahawa pihak swasta yang mengeluarkan sijil halal itu hadir ke premis pada peringkat awal untuk tujuan pengeluaran sijil sahaja dan tidak melaksanakan pemantauan berkala dari semasa ke semasa selepas sijil dikeluarkan.
“Saya yakin pemeriksaan pada peringkat awal pun dilaksanakan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dan mendapatkan keuntungan semata-mata,” katanya.
Katanya, ada juga permohonan yang terpaksa ditolak kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan selain beberapa hotel yang ditangguhkan pemeriksaannya bagi tujuan pembaikan sebelum pihak berkuasa berpuas hati.

No comments:

Post a Comment